BERITA SEMASA
Obesiti: Kajian Dapati Malaysia Hadapi Masalah Paling Besar Di AsiaJuly 08, 2005 23:34 PM KUALA LUMPUR, 8 Julai (Bernama) -- Malaysia mempunyai peratusan rakyat dengan berat berlebihan dan masalah obesiti tertinggi berbanding negara-negara lain di Asia. Berikutan itu, Malaysia mungkin menghadapi isu kesihatan yang besar jika rakyat tidak mengambil langkah untuk mengamalkan cara hidup sihat, menurut sebuah syarikat maklumat pasaran, TNS. Keputusan dari kajian berterusan pelanggan oleh syarikat itu, Asiapanel, mendedahkan bahawa 38 peratus suri rumah di Malaysia diklasifikasikan sebagai mempunyai berat berlebihan atau obes pada skala antarabangsa Indeks Berat Badan (BMI) -- dua kali purata negara-negara Asia lain. Menerangkan tentang perkara itu, TNS Asiapanel memberitahu perkara itu berlaku berikutan peningkatan terhadap pengambilan makanan ringan. Kajian itu mendapati mereka yang diklasifikasikan itu sebagai berat berlebihan atau obes di kalangan rakyat Malaysia menghabiskan hampir dua kali ganda makan makanan ringan berbanding purata orang Asia, dengan biskut paling popular.
Kajian mendedahkan masalah itu berlaku terutama di
kalangan masyarakat Melayu dan India.
Lebih tiga suku dari mereka yang diklasifikasikan sebagai obes adalah
Melayu dan 45 peratus suri rumah Melayu dilaporkan punya berat melebihi
paras sihat, hingga pada masa depan mereka mungkin menghadapi
masalah kesihatan serius.
Mengulas laporan tersebut dalam satu kenyataan hari ini, Pengurus Besar TNS Asiapanel Malaysia Michael Hawkins berkata, "Kesihatan dan kesejahteraan adalah masalah sejagat dan manakala paras obesiti di Asia masih kekal rendah berbanding negara-negara barat, Malaysia perlu mengambil tindakan segera untuk mengelakkan ia menjadi lebih teruk." Katanya, program pendidikan sendiri tidak menyebabkan perubahan dalam sikap berbelanja. "Jelas sekali potensi pasaran makanan berkhasiat adalah penting dan pekilang perlu bijak bertindak sebagai agen perubahan dalam mempromosikan gaya hidup sihat," katanya. Asia Panel adalah sebahagian panel perkhidmatan pelanggan global TNS. Perkhidmatan Asiapanel berdasarkan pemantauan sampel secara berterusan untuk menyediakan maklumat aktiviti pembelian. Keputusan-keputusan itu dihantar kepada pekilang-pekilang multinasional dan tempatan, peruncit, penganalisis pasaran dan pertubuhan-pertubuhan kerajaan. -- BERNAMA |
||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||

Pengedar tunggal: